Monday 14 September 2015

Aku, Dia & Rezeki

Teks & Foto : Noryani Ab Hamid




Sedikit ujian itulah hikmah.
.
.
Sambil bersandar dan berlunjur di dinding masjid, berhadapan dengan pintu masuk pejabat zakat.
Kelihatan seorang pemuda keluar dengan senyuman.
Dia bersalaman dengan Pengawal Keselamatan yang bertugas di pintu masuk.
"Dah dapat duit, masukkan sedikit ke dalam tabung derma, insyaAllah, rezeki saudara akan bertambah." begitulah pesanan Pengawal Keselamatan itu.
Namun, pemuda itu terus sahaja keluar dan mencari seliparnya.
Pencariannya gagal. Seliparnya langsung tidak ditemui.
Saya pun rasa pelik. Bukannya ramai sangat manusia di pejabat zakat itu.
Pemuda itu termenung seketika, sambil bercekak pinggang.
Mungkin dia mengubah pendiriannya. Pemuda itu masuk semula ke dalam masjid.
Kelihatan dia membuka sampul. Sekali lagi pemuda itu termenung.
Kemudian barulah dia memasukkan wang derma.
Pemuda itu terus pergi ke ruang wuduk.
Seketika kemudian, saya nampak pemuda itu sedang bersolat.
Usai bersolat. Dia bergegas keluar. Dan mencari seliparnya. Dia memandang saya dan Pengawal Keselamatan sambil ketawa.
Rupanya seliparnya tidak hilang.
Dia bergegas ke arah parkir motor. Sebaik dia mahu menghidupkan enjin.
Kami tergamam kerana seorang lelaki berpakaian lengkap baju Melayu menjerit ke arah pemuda itu.
"Hello, helllo ... saudara!"
Pemuda itu tergamam.
"Ini motor kamu?" tanya lelaki berbaju Melayu itu.
"Ya, kenapa tuan?" pemuda itu pula terpinga-pinga.
"Kamu jual susu kambing?" sambil lelaki itu memandang kotak jualan di atas motor pemuda itu.
Saya tidak mendengar perbualan mereka kerana melihat nombor giliran, takut terlepas.
Tidak lama kemudian. Pemuda itu masuk semula ke dalam ruang solat.
Pemuda itu kelihatan sujud.
Saya dan Pengawal Keselamatan berpandangan sesama sendiri.
Kehairanan.
Sewaktu pemuda itu keluar dari ruang solat.
Pengawal Keselamatan itu memanggilnya.
Sekadar hendak mengetahui apa yang berlaku, sehingga pemuda itu sujud.
Rupanya. Sewaktu hendak keluar di awalnya. Dia langsung tidak dapat mencari seliparnya yang disangka hilang.
Hikmahnya. Allah memberikan ruang untuknya supaya bersolat sunat terlebih dahulu.
Usai bersolat. Tiba-tiba sahaja seliparnya ada ditempatnya.
Sewaktu hendak bersedekah. Waktu dia membuka sampul duit. Yang ada hanyalah wang ringgit dan semuanya RM50.
Tiada pilihan. Dia nekad.
"Ya Allah, aku tidak pernah menderma sebanyak ini, namun aku percaya kepada rezeki dari MU."
Kemudian dia melakukan solat sunat Dhuha.
Waktu hendak pulang. Rupanya, lelaki berbaju Melayu itu telah lama mencari susu kambing asli.
Susu itu mahu di serahkan kepada sebuah asrama anak-anak yatim.
Dan lelaki itu telah membuat tempahan awal.
"Dia bayar dengan upah sekaligus ... "
"Berapa banyak yang dia order?" saya mencelah dengan penuh minat.
"RM3,000 bang ... ." Pemuda itu menjawab dengan mata berkaca.
.
.
Baca lebih banyak kisah-kisah seperti ini dalam BUKU AKU, DIA & REZEKI
.
.
Harga RM32.00 sm / RM 35ss
***Termasuk Postage

No comments:

Post a Comment